.
Hari-hari yang telah berlalu, sememangnya akan meninggalkan seribu satu kisah dan cerita. Maka dengan itu lahirlah akusebuahkisah ! yang mana, diari kembara hidup yang singkat ini diabadikan terus secara maya kerana hari-hari yang telah berlalu, tidak mungkin berulang kembali. Maka, apa salahnya ia diterjemahkan sebagai sebuah kisah. Kisah bukan sebarang kisah... Tetapi kisah yang begitu indah...

.

Tuesday, January 20, 2009

Hope & Change Hadir Dengan Gelombang Oren !




Di Universiti Malaya baru-baru ini, kira-kira 4:15 pagi, pengumuman telah dibuat oleh suruhanjaya pilihan raya kampus di Universiti Malaya. Keputusan yang menggemparkan itu, khabarnya telah pun memihak kepada kumpulan Pro Mahasiswa di universiti itu. Kalaulah benar, hasil titik peluh dan letih lelah mereka selama ini terbayarlah sudah.


Namun ada beberapa hal yang perlu dipertimbangkan. Pertama, hendaklah disebutkan dengan jelasnya bahawa kemenangan itu tercipta setelah Pro Mahasiswa telah dihina dengan kepala khinzir di atas bendera PAS diletakkan di surau Akademi Pengajian Islam (Api) baru-baru ini. Ayatnya mesti begitu. Jangan semata-mata berkata, "Kami telah menang!"


Ayat semacam itu tergantung. Ia tiada unsur dramatik, tidak mencengkam perasaan, tiada klimaks, sifar kombinasi susur galur plot perjuangan dan kelihatan sama seperti perjuangan di kampus-kampus lain. Sedangkan, kejadian ini sebenarnya boleh dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan kalau mahu isu penghinaan ke atas Pas itu diperdebatkan segera.


Ketika kita marahkan Israel, Amerika dan Zionis, bendera negara haram Israel itu dibakar dan bendera Amerika dipijak, diinjak-injak oleh para demonstran. Namun, ketika bendera parti Islam yang berjuang menegakkan Negara Islam dihinakan dengan meletak kepala khinzir di atasnya, kita boleh diam membisu seribu bahasa pula.


Baiklah, hal itu terserahlah kepada pucuk pimpinan parti sama ada mereka mahu mengambil tindakan atau tidak.


Hal berikutnya yang perlu diberi perhatian, adakah jumlah bilangan kerusi Pro Mahasiswa benar-benar mengatasi kerusi Aspirasi? Atau, cuma calon Umum sahaja yang mendapat banyak undian. Sejarah di Upsi cukup memberi pengajaran. Di USM, dengan kekurangan 1 kerusi (15-16) di pihak Aspirasi sekali pun, mereka boleh 'rampas' MPP USM sekitar 2004/2005.


"Bantahan demi bantahan banyak dibuat awal pagi tadi," kata seorang teman dengan gembiranya. Saya sudah menjadi fobia untuk bergembira. Sepatutnya pada malam pengiraan undi, kita mesti perhatikan kelibat TNC. Dengan siapa beliau sedang bercakap, berbual dan berbincang. Perhatikan, apakah wujud garis-garis kekerutan pada wajahnya.


Jika dia bergembira walaupun kita berasakan keputusan akan memihak kepada kita, berawaslah segera. Mereka ini panjang akal, penuh tipu helah dan tipu muslihat. Mungkin anda tidak percaya, tapi saya bercakap atas pengalaman.


Ketika ini saya tidak tahu apakah maklumat yang sempurna daripada Universiti Malaya. Hanya.. doa saya selalu bersama anda. Jangan kita angkuh, 'over confident' dan sangat gembira kerana khuatir akan mendapat berita yang mendukacitakan kita kelak. Ini baru fasa kedua, iaitu fasa ketika pilihan raya.


Kita baru melangkah ke fasa ketiga-selepas pilihan raya, dan kita pun tak tahu apa lagi sekatan demi sekatan yang akan disusun oleh HEP.


Apa-apa pun saya berkongsi kegembiraan ini bersama saudara dengan penuh kerisauan yang bersarang di dada. Marilah kita kenangkan semula sebuah hadis berhubung 'jihad hawa nafsu' sebagai muhasabah.


Saat baginda Rasulullah s.a.w mendengar bualan dan perkataan para sahabat tentang jumlah musuh-musuh yang mereka bunuh, baginda bersabda, "Kita baru pulang daripada perang yang kecil dan kini kita sedang menuju perang yang lebih besar."


Para sahabat terkejut besar. Tergambar di ruang mata mereka betapa kilatan mata pedang mereka disuluh sinar mentari sebentar tadi bersama percikan darah syuhadak dan musuh Islam.


Suara-suara pekikan takbir serta raungan musuh bergema mengisi kesifaran sepi di padang pasir. Alam seakan dibancuh warna merah darah. Dan.. semua itu masih dilihat baginda Rasul sebagai sebuah peperangan yang cuma bertaraf kecil-kecilan baginya?


"Apa..selepas ini..ada perang lagi yang lebih besar ya Rasulullah?" pantas mereka bertanya, hampir serentak.


"Benar.." kata Rasulullah s.a.w, lalu baginda meneruskan sabdanya, "iaitu perang ke atas hawa nafsu."


Baginda Rasul mungkin mahu menegur para sahabat agar tidak lagi bersikap takbur dengan menghitung-hitung berapa ramai musuh yang telah mereka penggal kepalanya. Jangan berasakan diri kuat, membanding-bandingkan kehebatan sesama mereka dengan menghitung-hitung berapa ramaikah musuh yang masing-masing telah mereka tewaskan dalam pertempuran tadi.


Keangkuhan, kesombongan, kecongkakan, kebongkakan, kepongahan dan ketakburan akan membinasakan diri seumpama Umno yang selama ini takbur dan suka 'sembang deraih' dan 'sembang kemaih' berhubung kekuatan mereka di media sebelum ini. Sikap melampau-lampau inilah yang menyebabkan rakyat menjadi bertambah meluat dan menyampah.



Kemenyampahan rakyat dan pengundi itu bukannya tidak boleh terpalit ke atas kita, kalau kita bersikap takbur seumpama mereka. Janganlah diulangi kesilapan Umno dan Aspirasi. Kelak kita akan dimarahi, disumpahi rakyat dan pengundi yang sudah pun memilih kita sebelum ini.


Walau bagaimanapun, kemenangan Pro-M di UM sememangnya telah dijangkakan melihat kepada kesungguhan mereka berkempen. Serta terdapat banyak lagi faktor-faktor di pihak lawan yang membawa kebaikan kebaikan Pro-M. Sememangnya kami dahagakan harapan adan perubahan yang dijanjikan. Hadir dengan gelombang oren. Menjunjung biah Islami di bumi UM. Moga Islam kan terus gemilang. Student.....POWER !!!

0 comments: