.
Hari-hari yang telah berlalu, sememangnya akan meninggalkan seribu satu kisah dan cerita. Maka dengan itu lahirlah akusebuahkisah ! yang mana, diari kembara hidup yang singkat ini diabadikan terus secara maya kerana hari-hari yang telah berlalu, tidak mungkin berulang kembali. Maka, apa salahnya ia diterjemahkan sebagai sebuah kisah. Kisah bukan sebarang kisah... Tetapi kisah yang begitu indah...

.

Saturday, January 24, 2009

Debat Oh Debat ...! Mengapa Debat ?

Debat oh debat !!!... mengapa debat ? Ehm... pertanyaan yang sekadar pertanyaan mungkin. Hendak dipendekkan cerita, kisah pun mula berkisah. Daripada sekolah, aku memang suka berdebat. Memang menjadi kebiasaan aku, ada masa lapang, pasti aku akan berlawan kata dengan rakan baikku, Rahimi, yang kini telah pun melanjutkan pelajarannya di UiTM, juga seorang pendebat. Lebih hebat daripada aku, yang sememangnya baru hendak bertatih dalam dunia perdebatan.


Tamat sekolah menengah di bumi tercinta, bumi tarbiyah, Maahad Ahmadi N. Sembilan, aku mengambil keputusan untuk tidak melibatkan diri dalam dunia debat setelah kali terakhir berdebat pada Pertandingan Debat Antara Sekolah-Sekolah Menengah di UIAM. Kira-kira setahun setengah selepas itu, aku tidak peduli apa-apa mengenai debat. Semuanya sudahku lupakan. Namun, benarlah kata seniorku, bahawa dunia debat tidak ada jalan keluar ! Kita pasti ingin berdebat, jika tidak berdebat pun kita masih terikat dengan dunia debat. Dunia yang tidak ada jalan keluar ! Menakutkan bunyinya. Ya, memang benar.


Menjejakkan kaki sebagai mahasiswa tahun 1 di Universiti Malaya, menyebabkan semangat untuk berdebat mula membara. Daripada kecil, lama-kelamaan menjadi besar. Lalu dengan tekad, aku pun menyertai Pertandingan Debat Haluansiswa 08/09. Dan ditakdirkan, aku berjaya hingga ke perlawanan akhir. Johan. Alhamdulillah... Langsung tidak terlintas di kotak pemikiran ini untuk beraksi di pentas akhir, namun itulah yang berlaku. Dan sejarah juga tercipta buat pertama kalinya, sejarah buat diri sendiri, aku rasa tak perlulah dihebohkan. Namun, itu sememangnya kenangan terindah buat diri ini. Walaupun ia hanyalah Debat Minggu Haluansiswa.


Dan semenjak itu aku mula aktif semula dalam dunia debat dengan menyertai Kelab Orator UM yang sememangnya terkenal dengan barisan pendebat-pendebat yang hebat-hebat belaka. Tiada tandingannya. Di sana kami, bersama junior-junior yang baru hendak bertatih ini diberikan tunjuk ajar oleh senior-senior yang hebat-hebat belaka. Kagum dan teruja melihat kepetahan dan ketajaman minda mereka. Ya, sememangnya debat mengajar kita berfikir dengan cepat, tepat dan penuh ilmiah di samping kepetahan berkata-kata.


Aku masih ingat lagi kata keramat seniorku yang kaya dengan falsafahnya, untuk menjadi seorang pendebat, anda mestilah berbakat, berilmu, dan penipu ! Penipu ? Ya, tapi penipu bukan sebarang penipu, penipu ini bijak memanipulasi. Seterusnya, bergandingan dengan senior dan junior yang lain, kami delegasi UM berangkat ke bumi UIAM untuk berjuang dalam Pertandingan Debat Diraja Ke-14. Namun, takdir telah menentukan, kami kalah. Hanya layak ke suku akhir. Namun, semuanya sudah diatur oleh ilahi. Sememangnya hidup ini umpama roda, kadang-kadang di atas, kadang-kadang di bawah.


Dan baru-baru ini pula, debat kini menjadi kisah indah setelah punah di Debat Diraja. UM buat kali kedua berturut-turut, berjaya mengekalkan penguasaan dalan Pertandingan Debat IKIM 09. Sememangnya satu kepuasan buat kami terutamanya para senior yang telah lama dahagakan kemenangan. Johan debat IKIM 09 ! Sesuatu yang sukar dilupakan, dan yang nyata, pastilah universiti lain gerun dengan barisan pendebat UM yang sentiasa mantap di arena perdebatan. Dan kini, Debat Terbuka Astar pula mula menjengan pada 28 Februari ini.


Adakah ia milik kami ? Sebagai peserta, aku tidak mampu berkata ya atau tidak, kerana sejarah sentiasa tidak berpiihak kepada kami. Namun, dengan rakan segandingan yang aku kira mantap dan hebat, kami yakin, kami boleh. Moga ia menjadi sebuah kisah. Kisah bukan sebarang kisah. Tetapi kisah, yang begitu indah !

0 comments: