.
Hari-hari yang telah berlalu, sememangnya akan meninggalkan seribu satu kisah dan cerita. Maka dengan itu lahirlah akusebuahkisah ! yang mana, diari kembara hidup yang singkat ini diabadikan terus secara maya kerana hari-hari yang telah berlalu, tidak mungkin berulang kembali. Maka, apa salahnya ia diterjemahkan sebagai sebuah kisah. Kisah bukan sebarang kisah... Tetapi kisah yang begitu indah...

.

Sunday, January 18, 2009

Ada Apa Dengan Boikot

Kecil juga dikira

Pernah satu ketika saya bersama seorang sahabat seuniversiti makan tengah hari di luar, di sebuah restoran makanan turki. Sudah tentu, kebab menjadi pilihan, itu sahaja yang mengenyangkan. Apabila memilih minuman, dia mengambil coke. Saya mula menegurnya bahawa kita sepatutnya memboikot minuman jenama tersebut kerana keterlibatannya dengan Yahudi Zionis. Kami sebelumnya sudah beberapa kali berbincang akan hal ini.


Kali ini kami berdebat lagi, namun bukan semberono dan tidak punya tata tertib seperti yang selalu dilihat di kaca televisyen. Saya berhujah, dia membidas, dia berhujah, saya membangkang. Dia pada satu ketika menyatakan bahawa ini (boikot) cuma hal kecil. Akhirnya saya katakan kepadanya, “baiklah, kita hentikan sahaja perdebatan ini, namun sebelum itu, fikirkan ini... seandainya benar ianya (memboikot) hal kecil, maka Allah tidak sepatutnya menyebut di dalam Quran;


Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya Dia akan melihat (balasan)nya. dan Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya Dia akan melihat (balasan)nya pula. [QS:99:7-8]

Memboikot mungkin bukan tindakan yang paling utama, kerana tanpa kesedaran dan kefahaman, orang tetap akan teraba-raba dan tertanya-tanya, mengapa aku memboikot? Liga Arab sendiri tidak mampu menjejaskan mahupun mencubit Israel, mengapa aku bersusah payah? Soalan seperti atau seumpama ini akan kedengaran di cupingan telinga. Maka perlu kepada kefahaman, dan juga kesedaran, bahawa yang kita lakukan ini (boikot) bukan sesuatu yang sia-sia, kerana Allah melihat setiap daripada pengorbanan yang kita lakukan, dari sekecil zarrah sehingga sebesar zarrah.

Kisah Nabi Ibrahim

Saya teringat ketika nabi Allah Ibrahim a.s dibakar oleh Namrud dalam api yang besar dan marak. Ketika itu, hanya seekor burung berulang-alik mengambil air dalam paruhnya untuk memadamkan api tersebut. Binatang-binatang lain meremehkan usaha burung tersebut juga mempersoalkan tindakannya yang tidak memberi impak kepada api tersebut. Burung tersebut menjawab; “sekurang-kurangnya di hadapan Allah nanti aku punya jawapan apabila dipersoalkan apa usaha aku membantu nabi Allah ini.”

Seekor burung kecil menampakkan usahanya disebalik kata-kata sumbang daripada binatang sekeliling, bagaimana pula dengan kita manusia? Hal boikot bukan hal yang kecil, kenapa? Kerana ianya mempunyai impak yang besar ke atas ekonomi Israel. Ketika kota New York dibuka, 10 000 daripada penduduknya adalah Yahudi (International Jews, Henry Ford), bayangkan mengapa tidak mereka mampu menguasai bukan sahaja ekonomi, bahkan pentadbiran Amerika.

Kita seorang boleh memboikot sehingga sekurang-kurangnya 10 jenama yang menjadi agen penyumbang kewangan dan tabungan Yahudi, dan sekurang-kurangnya, RM100 dapat diselamatkan daripada eksploitasi pembelian senjata-senjata. Andai ada 100 orang seperti kita? Bagaimana sekurang-kurangnya 500 000? Jangan kita sekadar melakukan perhimpunan, demonstrasi, kerana itu tidak akan didengar oleh Yahudi yang tuli, kita perlu mengasak mereka dengan sekatan-sekatan antarabangsa.

Mengapa kita?

Ada yang mempersoalkan mengapa perlu kita memboikot sedangkan negara-negara Arab tidak mengambil tindakan pun terhadap Israel? Sedangkan orang-orang Arab sendiri tidak membantu bangsa mereka, kenapa kita yang perlu disibukkan? Islam bukan agama yang dihadkan kepada suku dan bangsa tertentu, apalagi ianya tidak dihadkan kepada sempadan dan daerah tertentu, Islam ialah agama universal, ia tidak membezakan seseorang pun yang menganutnya, dari warna kulit, status, rumpun bangsa, daerah atau apa sahaja, melainkan taqwa. Dan Islam itu telah menjalinkan kita semua tanpa ada persoalan lagi dengan terus terang dan jelas;
orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. [QS:49:10]

Isu kita juga

maka, isu palestin adalah isu kita. Masalah mereka masalah kita. Membantu mereka bermakna kita membantu diri kita sendiri. Bagaimana? Dengan bantuan atau infak yang diberikan itu kita bukan sahaja menyumbang sesuatu, malah kita mendapat saham yang tidak ternilai, yang tidak akan jatuh nilainya meskipun pasaran dan ekonomi dunia merudum, inilah saham akhirat. Apabila kita tetap ikhlas (hanya di antara kita dengan Allah), maka Allah itu akan menggandakan semahu-Nya;

perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha mengetahui. [QS:2:261]

Kutukan buat pemimpin negara Arab

Maka, tidak punya dalih untuk kita tidak membantu bangsa seaqidah kita. Saya dengan terus terang mengutuk perbuatan diam diri negara-negara Arab yang kecut dan tunduk kepada Israel. Bayangkan, penduduk di negara-negara Arab mencecah sehingga 300 juta penduduk, sedang Israel hanya dihuni oleh tidak sampai 5 juta, apa yang mampu dilakukan mereka?

Tiada apa-apa! Negara-negara ini pemimpinnya mempunyai kepentingan-kepentingan yang mengikat mereka dan jiwa mereka dengan Amerika Syarikat dan Israel. Seandainya mereka memboikot dan menyerang negara haram Israel, maka kekayaan mereka akan ditarik balik, mereka akan hilang pangkat dan kekuasaan. Sungguh, mereka ini pengecut!

Adakah mereka ini buta dan hilang kewarasan akal sehingga sanggup menutup mulut, menekup telinga, dan memejam mata akan isu ini? Adakah mereka mahu menunggu sehingga kekayaan minyak yang mereka miliki itu habis dan kering, baharulah mahu menyerang Israel?

Adakah mereka ini tidak mengerti dan memahami bahawa minyak itu adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui? Sekaya mana juga negara Arab, suatu hari nanti minyak-minyak atau emas hitam ini akan habis juga, tatkala itu kepada siapa lagi yang mahu mereka berpaut? Israel dan Zionis hanya akan ketawa dan memperlekehkan kebodohan mereka.

Tinggalkan mereka

Kita tidak perlu tunggu sehingga pemimpin-pemimpin ini mahu mencelang mata dan berganjak dari kerusi malas mereka, kita mampu melakukan perubahan, mereka ini sekiranya hanya mahu melihat, maka mereka bukan sahaja rugi, malah merekalah yang akan menanggung seksa yang berat di akhirat kelak. Kita tidak boleh dan tidak perlu menjadi seperti mereka dan berpangku tangan. Kita mesti dan harus terus perkasa, sesungguhnya, inilah saat yang dinanti-nantikan bagi mereka yang menginginkan redha daripada Allah SWT.

Andai kita tidak mampu menyongsong senjata, mengerah kudrat, berperang di tanah yang berkat, maka kita lakukan jihad sesuai dengan kemampuan kita. Semampunya kita boikot, kita akan boikot.

Antara pilihan dan terpaksa

Ya, Malaysia mungkin bukan negara yang kita perhatikan punya banyak pilihan untuk menggantikan barang-barang yang diboikot, namun ini bukan alasan untuk tidak memboikot. Hakikatnya, masih punya resolusi dan opsyen untuk tidak membeli barang keluaran Israel dan US. Kekadang, kita tidak mahu memboikot kerana kita punya kepentingan dengan jenama-jenama tersebut, walhal benda-benda itu bukan perkara asasi, tetapi perkara yang memenuhi kehendak dan kemahuan kita.

Apa yang ruginya tidak menggunakan jenama-jenama Israel? Adakah kita akan mati sekiranya tidak makan atau minum barangan keluaran negara tersebut? Mari kita stabilkan pemikiran dan waraskannya kembali, letakkan ke tepi nafsu-nafsu yang sihat berkembang-biak dalam jiwa, fikirkan kembali soalan saya. Tidak, itu jawapan dia, saya perhatikan, sekurang-kurangnya, untuk jenama yang kita boikot, kita punya satu opsyen menggantikannya.

Kemanusiaan dan persaudaraan

Ada orang yang sibuk berpiket orang yang dianaktirikan, atau tidak diberi layanan setara kepada khidmat mereka. Contohnya seperti yang baru-baru ini di Australia, sibuk orang berpiket akan pekerja-pekerja di ladang kopi yang hanya dibayar dengan gaji rendah. Namun dia tidak memikirkan mana yang lebih afdhal untuk mereka berpiket.

Tentunya saya menyebut tentang mereka yang beragama Islam sibuk berpiket untuk orang lain, namun saudara sendiri ditinggalkan. Bak kata orang Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah ditinggalkan. Tidak salah membantu, ia juga mendapat pahala, namun kenapa apabila tiba isu umat Islam Palestin, hanya melongo? Sedangkan membantu mereka lebih afdhal dan mendapat ganjaran yang besar?

Bahkan, mereka sendiri tatkala sibuk berpiket untuk orang lain, kemungkinan memakai barangan keluaran yahudi dan US, maka mereka ini samalah juga seperti orang yang hendak mereka boikot itu. Orang yang mereka boikot ialah orang yang daripada negara atau syarikat yang sama yang melakukan kejahatan di bumi Palestin dengan sumbangan dan dana mereka kepada Israel.

Tahukah anda, kerajaan US memperuntukkan lebih USD1 milion kepada Israel SEHARI sebagai bantuan? Dan bantuan yang diberikan kerajaan US itu boleh memberi makan kepada DUA benua (Afrika+Amerika Selatan)! Kalau anda tidak percaya, saya cadangkan anda menonton rancangan dokumentari occupation 101 yang amat bermanfaat membantu kita dengan memberi pemahaman akan isu Palestin.

Teruskan

Kita akan teruskan usaha ini. Kita tidak akan berhenti, dan kita percaya dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengganjarkan setiap usaha kita. Kita percaya dan mengimaninya dengan penuh yakin.


By: www.thetalkingpen.blogspot.com

0 comments: